Pendahuluan
Semenjak perkenalan sulung saya dengan Muhammad Al-Fateh, sang penakluk Konstantinopel, obor semangat pemuda dalam jiwa terus menyala dan menrangi perjalanan hidup saya.
Taktik 'gila' beliau melayarkan kapal merentasi bukit dengan ketinggian 60 meter atas paras laut pasti membuat sesiapa saja terlopong. Rakyat Konstantinopel hilang harapan dan keyakinan apabila melihat kapal-kapal tentera Al-Fateh berada dalam daerah yang dibanggakan kebal selama ini. Al-Fateh merobohkan keyakinan itu dengan bukan hanya sebuah kapal sahaja, tetapi TUJUH PULUH DUA buah kapal! Kecerdikan Al-Fateh ini menjadi inspirasi saya biarpun ratusan tahun sudah berlalu.
Namun begitu, selama ini saya sangka kemenangan terus berada dalam genggaman pasukan Muslim sejurus selepas kapal-kapal mereka tiba di Teluk Tanduk Emas. Saya mengandaikan idea berani dan luar biasa sahaja sudah menjamin suatu kejayaan. Perspektif naif saya itu diubah oleh Felix Y. Siauw melalui buku Muhammad Al-Fatih 1453. Kemenangan tidak berguling kepada 72 buah kapal pasukan Muslim apabila mereka tiba di Teluk Tanduk Emas. Mereka tetap perlu tumpahkan peluh dan darah bagi menakluk Konstantinopel. Bahkan Al-Fateh hampir mencium kekalahan beberapa kali selepas pelaksanaan taktik perang yang tidak pernah dilihat mana-mana manusia terdahulu itu.
Kisah Al-Fateh membuka mata saya bahawa idea semata-mata tidak memadai. Idea perlu digandingkan dengan kemampuan melaksanakan idea tersebut hingga berjaya.
Pasukan Konstantinopel juga mempunyai idea yang mampu menghancurkan pasukan Muslim. Idea itu datang daripada seorang pelaut Trebizond, Giacoma Coco. Ideanya berani tetapi berisiko. Malangnya, idea itu gagal kerana ketamakan Giacoma Coco sendiri. Pasukan Konstantinopel berjaya menyelinap masuk ke kawasan kapal-kapal pasukan Muslim. Walau bagaimanapun, nafsu mahu membolot kejayaan telah menguasai pemikiran dan jiwa Giacoma Coco. Dia mengabaikan formasi dan memecut ke hadapan. Perbuatannya itu mengakibatkan serangan sulit itu terbongkar. Kapal Giacoma Coco menjadi mangsa pertama meriam pasukan Muslim pada malam itu, sebelum pasukan Konstantinopel terpaksa berundur.
Kebenaran hakikat bahawa idea perlu didukung oleh kemampuan tidak terhad hanya kepada kisah Al-Fateh. Dalam lembaran sejarah, berulang kali kita membaca kisah orang yang memiliki idea, tetapi tidak mampu melaksanakan. Menariknya, peraturan dunia ini terpakai pada orang baik juga. Oleh itu, kita perlu lipatgandakan usaha agar agenda positif kita berjaya dilaksanakan. Kita perlu berusaha jadi seperti Al-Fateh yang bukan sahaja mempunyai cita-cita mulia dan idea luar biasa, tetapi bakatnya telah diasah sejak kecil lagi bagi melaksanakan strategi dengan baik.
Jika anda tanya saya bagaimana mempunyai impian dan cita-cita tinggi melangit namun kaki tetap berpijak di bumi, buku ini jawapan saya.